Tokoh

KOLEKSI KISAH-KISAH TOKOH SEJARAH 
 MALAYSIA

A.SEJARAH JOHOR

Sultan Ibrahim bapa pembangunan Johor
Sepanjang pemerintahan Johor dikenali di seluruh dunia kerana pembangunan dan hubungan akrab dengan ketua kerajaan asing

DALAM sejarah dunia, hanya dua Raja yang berjaya meraikan Jubli Intan menandakan pemerintahan mereka mencapai tempoh 60 tahun. Raja pertama ialah Queen Victoria, Ratu England yang memerintah negara itu dari 1833 hingga 1902 dan seorang lagi ialah Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, iaitu Sultan Johor ke-22 yang memerintah Johor dari 1895 hingga 1959.

Beliau diputerakan sebagai Tunku Ibrahim Iskandar di Istana Bidadari, Serangoon, Singapura pada 1873. Sultan Ibrahim adalah anak tunggal Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim dan Inche Zubaida Abdullah Inche Besar (isteri kedua Sultan Abu Bakar).

Berlatarbelakangkan pendidikan Inggeris sejak kecil, beliau diberi perhatian penuh sebagai bakal Sultan dan ketika menjadi Putera Mahkota pada usia 17 tahun, beliau pergi ke Eropah buat pertama kali pada Jun 1890. Beliau melawat Jerman, Switzerland, Perancis dan England.

Sultan Ibrahim menamatkan zaman bujang ketika berusia 20 tahun apabila berkahwin dengan saudara sepupunya, Tengku Maimunah Ungku Abdul Majid pada 1892. Pasangan diraja itu dikurniakan putera Tengku Ismail (Tengku Putera) pada 1894.

Setahun selepas dikurniakan putera, beliau ditabalkan sebagai Sultan bergelar Sultan Sir Ibrahim di Balai Zaharah, Johor Bahru pada 7 September 1894.

Bagi memperluaskan pengetahuannya, beliau sering ke Eropah khususnya England dan beberapa negara lain. Pada 12 Mac 1934, beliau mengelilingi dunia diiringi Sultanah Helen dan Setiausaha Sulitnya, Kapten Sheikh Abdullah Yahya.

Rombongan bertolak dari Singapura menaiki kapal Jepun Fujiyama Maru?menuju ke Jepun, kemudian singgah di Hong Kong dan Shanghai, China. Ketika di Jepun, Maharaja Jepun menganugerahkan beliau First Class Grand London of the Order of Rising Sun?sebagai tanda perkenalan dan persahabatan.

Sultan Ibrahim meneruskan pelayaran menaiki kapal Chinchba Maru?dari Yokohama menuju ke Honolulu, San Francisco (lawatan ke Hollywood). Dari Los Angeles, beliau ke Chicago, Washington (lawatan ke Rumah Putih) dan kemudian New York.

Dari Amerika Utara, beliau ke England atas jemputan King George V dan Queen Mary menghadiri majlis perkahwinan puteranya Duke Of Kent di Gereja Besar Wetsminster. Sepanjang perjalanan itu beliau turut melawat India, Australia, Thailand, Indo-Cina dan Kemboja.

Pada September 1935, Kerajaan Johor dan semua peringkat rakyat mengadakan sambutan ulang tahun ke-40 Sultan Ibrahim bersemayam di atas takhta.

Sultan Ibrahim ke England untuk berunding dengan Inggeris pada Januari 1904 bagi membina jalan kereta api merentasi Johor. Laluan kereta api itu siap dibina dan dirasmikan pada 12 Disember 1908.

Bagi pihak kerajaan Johor, beliau dan Gabenor Sir Lawrence N Guillemard (Kerajaan Selat) meletakkan batu asas pembinaan Tambak Johor menghubungkan Woodland, Singapura pada 1924.

Daripada aspek pendidikan, beliau sangat mengambil berat pendidikan rakyatnya. Puteranya dihantar belajar di England dan menitahkan semua kanak-kanak supaya belajar.

Pada 1 Jun 1902, Enakmen Pelajaran diluluskan di mana semua ibu bapa atau penjaga hendaklah menghantar anak lelaki berusia tujuh tahun ke sekolah. Mereka yang ingkar akan dikenakan denda RM25 atau penjara selama tiga bulan.

Penulis sejarah, Haji Kamdi Kamil dalam tulisan mengenai Sultan Ibrahim melalui buku Tokoh Ternama Johor?menyatakan, sepanjang pemerintahannya, Johor dikenali di seluruh dunia kerana pembangunan serta hubungan akrabnya dengan ketua kerajaan asing.

Katanya, pada 17 September 1955, diadakan sambutan Jubli Intan sempena memperingati 60 tahun pemerintahan Sultan Ibrahim.

Kegemaran Sultan Ibrahim ialah memburu binatang buas terutama harimau. Pada 1897, ancaman harimau menghantui peladang yang mengusahakan kebun. Binatang buas itu membiak dengan cepat dan mengorbankan peladang.

Beliau kemudian berjaya menembak harimau dan sejak itu, kegiatan memburu diteruskan. Seekor harimau yang ditembak dipamerkan di Muzium Diraja Istana Besar, Johor Bharu,?katanya.

FAKTA
Jasa dan sumbangan Sultan Ibrahim
-Pembinaan hospital, pejabat kerajaan.
-Menaungi badan pakatan Bahasa Melayu (Pakatan Bahasa Persuratan Melayu Persuratan Buku Di-Raja Johor.
-Meneruskan pembinaan Masjid Abu Bakar yang diusahakan ayahandanya, Sultan Abu Bakar.
-Lagu rasmi Johor 'Lagu Selamat Johor' ciptaan M Galistan (pemuzik dan jurulatih pancaragam) wajib dinyanyikan murid sekolah di negeri itu.
-Pada 1885, menubuhkan pasukan askar Johor dikenali nama Timbalan Setia Negeri Johor.
-Pada 1905, menubuhkan Pasukan Sukarelawan Johor dan menjadi ketua kepada kedua-dua pasukan itu.


*****************
Dato' Onn Jaafar
Dato’ Onn Jaafar dilahirkan pada tahun 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Bapanya Dato’ Jaafar Haji Muhammad (1838 – 1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama sementara ibunya pula, Hanim Rogayah berasal dari Scarcia, Turki. Sultan Johor pada ketika itu, iaitu Sultan Ibrahim telah menghantar dan membiayai pengajian beliau di England dan beliau merupakan pelajar terbaik dalam bahasa Inggeris dan Perancis.

Sekembalinya ke tanahair, beliau telah dihantar pula oleh bapanya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk mendalami pengajian Bahasa Melayu. Sejurus kemudian, beliau mula terlibat dalam bidang politik dan perjuangan bangsa Melayu. Antara penglibatan beliau adalah ketika memegang jawatan sebagai pengarang Warta Ahad dan juga semasa menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, di mana beliau telah membuat dua sumbangan yang besar kepada rakyat Johor, iaitu, menubuhkan Biasiswa Sultan Ibrahim dan memberi tiket penerbangan percuma kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor yang beragama Islam untuk mengerjakan haji.

Pada tahun 1946, British telah menubuhkan Kesatuan Malaya (Malayan Union) tetapi telah ditentang hebat oleh bangsa Melayu kerana ia merampas kuasa pemerintahan Sultan dan hak istimewa orang Melayu. Dato’ Onn telah bertindak dengan mengadakan Kongres Melayu Sa-Malaya bagi meyatukan orang Melayu untuk menentang Kesatuan Malaya. Wakil-wakil dari 41 Persatuan Melayu telah menghadiri Kongres tersebut yang diadakan dari 1 hingga 3 haribulan Mac tahun 1946. Diantara keputusan yang telah dicapai di dalam Kongres tersebut ialah memulaukan Kesatuan Malaya, berkabung selama tujuh hari dan memakai lilitan putih pada songkok oleh setiap ahli. Kemudian, pada 4 haribulan Mac tahun 1946, Dato’ Onn telah menubuhkan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malay National Organization) untuk menyatukan bangsa Melayu dalam menentang Kesatuan Malaya secara habis-habisan.

Beliau telah dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama. Sejurus kemudian, beliau telah membuat satu cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada bangsa Malaya yang lain bagi menyelesaikan isu perkauman di dalam politik. Walau bagaimanapun, cadangan beliau telah dibangkang keras oleh orang Melayu dan justeru itu, Dato’ Onn bersara sebagai Presiden pada tahun 1951. Selain daripada mengasaskan UMNO, beliau juga bertanggungjawab dalam meningkatkan taraf kebajikan sosio ekonomi bangsa Melayu dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Industri Luar Bandar (RIDA). Walaupun gagal di dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 untuk menjadi Perdana Menteri Malaya yang pertama, beliau telah memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah dengan membuka jalan untuk Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos tahun 1957. Dato’ Onn meninggal dunia pada tahun 1962 ketika berusia 67 tahun.

*****************
Tun Hussein Onn

Hussein Onn dilahirkan di Johor Bahru pada 22 Februari 1922. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato’ Onn Jaafar, Menteri Besar Johor dan Presiden Umno yang pertama, dan Datin Halimah. Beliau menerima pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di English College, Johor Bahru. Beliau memulakan kariernya sebagai seorang pegawai kadet di dalam Angkatan Tentera Johor. Pada tahun 1941, beliau telah dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India untuk menjalani latihan ketenteraan di Akademi Tentera di Dehra Dun, India, dan ditauliahkan pada tahun 1942.

Sejurus kemudian, beliau berkhidmat di Timur Tengah dan di Kolej Ketenteraan New Delhi. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Kapten dan berkhidmat sebagai Pengajar Pusat Latihan Polis Malaya di Rawalpindi, India. Pada bulan Ogos tahun 1945, beliau kembali ke Malaya dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis, Johor Bahru. Kemudian, beliau berkhidmat di Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah, Segamat.

Apabila Dato’ Onn Jaafar menubuhkan UMNO, Hussein Onn meletak jawatan daripada perkhidmatan awam untuk menumpukan sepenuh masanya kepada UMNO. Pada tahun 1946, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama, dan juga sebagai Setiausaha Agong UMNO. Beliau turut berkhidmat sebagai ahli Majlis Perundangan Persekutuan. Pada tahun 1948, beliau meneruskan pengajiannya dalam bidang perundangan selama lima tahun.

Pada tahun 1970, beliau telah bertanding dan memenangi kawasan pilihan raya Parlimen Johor Bahru Timur dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan di dalam kabinet Tun Abdul Razak. Kemudiannya pada tahun 1972, beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO. Pada tanggal 13 Ogos tahun 1973, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia.

Selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada 14 Januari tahun 1976, Tun Hussein dilantik sebagai Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, atas sebab kesihatan, beliau memutuskan untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya, Dr. Mahathir Mohammad pada 15 Julai tahun 1981.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, beliau banyak menyumbang terhadap pembangunan masyarakat bumiputra. Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas baru di bawah terajunya. Usahanya yang paling ketara adalah apabila beliau memperkenalkan satu skim yang melibatkan pemindahan berjuta ringgit saham milik Kerajaan ke Amanah Saham Nasional (ASN) yang dikuasai oleh Permodalan National Bhd (PNB). Kemudian, berjuta-juta unit di dalam Skim ASN ini dijual kepada golongan bumiputra bagi membolehkan mereka melabur secara tidak langsung di dalam saham-saham tersebut. Dengan dana yang terhasil daripada jualan ini, PNB menjadi sumber utama bagi Kerajaan untuk menguasai kepentingan di dalam syarikat-syarikat asing.

Setelah persaraannya, Tun Hussein Onn masih kekal aktif di dalam beberapa inisiatif lain. Sebagai contoh, pada bulan May tahun 1983, beliau telah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa. Manakala pada 22 Februari tahun 1983 pula, beliau terpilih sebagai Penasihat kepada Petronas dan pada 9 Jun tahun 1983 beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Tun Hussein Onn meninggal dunia pada tanggal 29 May tahun 1990 di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, United States ketika berumur 68 tahun, enam minggu setelah menjalani pembedahan pintasan koronari. Beliau disemadikan di Moselium Pahlawan, di perkarangan Masjid Negara Kuala Lumpur.


*****************
Permulaan Sejarah Johor
 
Sejarah Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya ke Bentan di Johor

*****************

Muhamad Salleh bin Perang

Datuk Bentara Luar Johor - Datuk Mohd. Salleh bin PerangDato' Muhammad Salleh bin Perang (1841 - 21 Julai 1915) dengan gelarannya Dato' Bentara Luar memegang jawatan penting dari tahun 1856 sehingga tahun 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor. Tugas utama beliau adalah merancang pembangunan negeri Johor.

Sumbangan

Datuk Mohd.Salleh Perang adalah birokrat Johor yang bertanggungjawab dalam bidang pertanahan dan perladangan gambir dan lada hitam. Selaku ketua Jabatan Tanah dan Ukur Negeri beliau telah dapat membuat peta negeri yang lengkap serta bertulisan jawi. Tindakan pertamanya adalah pelukisan sebuah peta pembangunan negeri Johor. Peta itu menunujukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh negeri Johor. Ia juga menunjukkan bentuk muka bumi dan daerah-daerah di negeri itu. Inilah peta lengkap yang pertama sekali dilukis bagi sebuah negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Beliau bertanggungjawab membangunkan pusat bandar seperti Bandar Maharani (1888) dan Bandar Penggaram (1893), beliau juga menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua wilayah Johor itu sebelum dipanggil semula bertugas di Johor Bahru. Datuk Bentara Luar dapatlah dikatakan arkitek dan perancang pembangunan negeri Johor.

Kemahiran beliau berbahasa Cina dan tahu selok belok adat resam Cina membolehkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Sistem Kangchu Cina. Beliau mengiringi Sultan melawat negeri China dalam tahu 1880'an. Kerjaya beliau bermula dengan jawatan Pesuruhjaya Polis Negeri, dan berakhir sebagai ahli Dewan Negeri dan juga ahli Jemaah Menteri.

Membuka Bandar Batu Pahat

Ketika itu, Batu Pahat merupakan sebuah petempatan kecil yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung. Batu Pahat yang terletak di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat dikenali ketika itu sebagai "Pulau Kundur".

Pada 4 November 1893, Muhamad Salleh yang tinggal di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Seminggu kemudian pada 11 November, Sultan Abu Bakar menitahkan beliau untuk membuka Batu Pahat. Namun beliau memulakan usaha bagi membangun bandar itu dan menyediakan kemudahan jalan serta pejabat-pejabat kerajaan, dengan sistem pentadbiran moden.

Pembukaan rasmi Batu Pahat diadakan pada 1 Januari 1894 oleh Muhamad Salleh sendiri dan dihadiri oleh Orang-orang Kaya, penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Bandar itu mula berkembang maju di bawah Muhamad Salleh yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat. Beliau kemudian menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, dan menggalakkan orang-orang kampung membuka kebun dan membuat parit tali air. Dalam masa yang sama, pelabur-pelabur asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Muhammad Salleh berbahasa Cina merupakan faktor yang menyebabkan beliau disukai oleh orang Cina serta faktor yang membawa kemajuan ekonomi dan harmoni kepada daerah ini. Kejayaan beliau dalam pentadbiran Batu Pahat diakui oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor, dalam rangka lawatan tugas Ungku di Batu Pahat pada 21 Disember 1896.

Bersara

Apabila Sultan Abu Bakar mangkat, perubahan pemerintahan telah dirasai apabila Kerajaan British telah mula memperluaskan pengaruh mereka. Sedikit demi sedikit penasihat-penasihat di semua Daerah di Johor dan mula memecat orang-orang Melayu yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pembangunan termasuk juga Dato' Luar.

Pada 3 April 1909, Dato' Luar telah menerima surat dari Dato' Seri Amar Di Raja menyuruh beliau bersara dari jawatannya. Dalam pentadbiran Batu Pahat juga tidak dikecualikan dimana Pegawai-pegawai Negeri telah menukepada mereka yang bijak menilai samada segala perkhidmatan Dato' Luar itu dikira sebagai jasa atau tidak.

Sepanjang hayat Dato' Luar, beliau telah membuktikan kesetiaannya kepada Raja dan telah membuktikan bahawa beliau mampu memperlihatkan hasil kerja yang terbaik dengan menggunakan daya usaha sendiri. Dato' Bentara Luar duh Dato' Luar membuat penyelewengan tetapi tidak dapat membuktikannya. Akhirnya pada 21 Mei, 1912, Dato' Luar terus bersara dan usia beliau ketika itu adalah 71 tahun. Beliau digantikan oleh Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat. Di bawah Ungku Ahmad, Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat British untuk menjalankan pentadbiran.

Meninggal Dunia

Beliau telah kembali ke Rahmahtullah pada Hari Jumaat, 21 Julai 1915 (pukul 6.15 petang) bersamaan dengan 18 Syaaban 1333 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.


*****************
Muhammad Ibrahim Munsyi

Bapa Pendidikan Melayu Johor - Dato' Muhammad Ibrahim MunsyiMuhammad Ibrahim Munsyi merupakan seorang pendidik Malaysia yang mempunyai banyak jasa di dalam perkembangan pendidikan di Johor. Muhammad Ibrahim adalah anak bongsu Munsyi Abdullah, tokoh persuratan Melayu.

Pada tahun 1883, sebuah Jabatan Pelajaran ditubuhkan. Tujuannya ialah untuk memberi pendidikan yang lebih luas, tidak hanya terbatas kepada pelajaran al-Quran sahaja. Pada tahun ini juga dibina empat buah sekolah Melayu di Johor Bahru, Pengerang, Padang dan Tanjung Surat. Penubuhan sekolah Melayu ini terus berkembang ke daerah Muar, Batu Pahat dan tempat lain.

Di samping itu, Muhammad Munsyi memperkembangkan sistem pendidikan Melayu. Selain Jabatan ini, beliau juga ditugaskan untuk mengawasi perkembangan sekolah Inggeris dan Cina.


*****************

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah

Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Portugis merana kerana banyak serangan dilakukan oleh Sultan Mahmud Shah. Beberapa percubaan untuk menewaskan askar-askar Sultan Mahmud Shah dilakukan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.



Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga"


*****************


Perang Tiga Segi

Sultan Alauddin Riayat Shah menubuhkan sebuah kota di Johor Lama yang terletaknya di tebing Sungai Johor dan dari situ terus melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka. Baginda senantiasa bekerjasama dengan saudaranya di Perak dan juga dengan Sultan Pahang untuk menawan semula Melaka (pada ketika itu kota A Famosa telah dibina).

Di sebelah utara Sumatera pula pada masa yang sama, Aceh mula mengembangkan pengaruhnya untuk menguasai Selat Melaka. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis yang beragama Kristian, pedagang-pedagang Muslim mula menjauhkan diri daripada Melaka dan singgah di Aceh. Melihat keadaan itu Portugis merasa tercabar kerana hasil perdagangannya semakin kurang.

Portugis dan Johor sentiasa berperang menyebabkan Aceh melancarkan serangan ke atas kedua-dua belah pihak. Kebangkitan Aceh di Selat Melaka mengakibatkan Johor dan Portugis berdamai dan bekerjasama melemahkan Aceh. Tetapi selepas Aceh menjadi lemah, Johor dan Portugis kembali berperang.


*****************
Belanda dan Melaka

Pada abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara. Belanda bukanlah sekutu atau kawan Portugis dan ini menyebabkan Belanda bersekutu dengan Johor untuk memerangi Portugis di Melaka. Akhirnya pada tahun 1641, Belanda dan Johor berjaya menewaskan Portugis. Melaka kemudiannya menjadi milik Belanda sehinggalah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani


*****************
Perang Johor-Jambi


Semasa Perang Tiga Segi, Jambi yang berada di bawah kekuasaan Johor menjadi tumpuan ekonomi dan politik. Pada tahun 1666, Jambi cuba membebaskan diri daripada kekuasaan Johor dan di antara tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadilah peperangan di antara Johor dan Jambi. Ibu kota Johor iaitu Batu Sawar dimusnahkan oleh angkatan Jambi. Hal ini menyebabkan ibu kota Johor sentiasa berpindah-randah.

Sepanjang perang itu Jambi yang sentiasa mendapat keuntungan. Tetapi pada tahun 1679, Laksamana Tun Abdul Jamil mengupah askar upahan Bugis untuk bersama-sama dengan tentera Johor menentang Jambi. Tidak lama kemudian Jambi pun tewas.

Krisis antara Johor dan Jambi bermula apabila kedua-dua pihak berselisih faham mengenai perebutan kawasan yang bernama Tungkal. Pada masa ini Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Shah III dan peranan pentadbiran lebih banyak dimainkan oleh Raja Muda. Dalam usaha untuk mendapatkan semula Tungkal dari tangan orang Jambi, orang Johor telah menghasut penduduk Tungkal untuk memberontak. Hal ini menimbulkan kemarahan Pemerintah Jambi. Namun kekuatan ketenteraan Johor yang disegani pemerintah Jambi pada waktu itu menyebabkan Jambi memilih untuk berdamai. Ketegangan antara Johor dan Jambi telah dapat diredakan menerusi perkahwinan antara Raja Muda Johor dengan Puteri Sultan Jambi pada tahun 1659.

Namun persengketaan antara Johor dan Jambi kembali meletus berpunca daripada tindakan kedua-dua pihak yang saling menghina kedaulatan kerajaan masing-masing. Johor telah memulakan episod perperangan dengan Jambi apabila menghantar 7 buah kapal untuk menyerang perkampungan nelayan Jambi pada bulan Mei 1667. Kegiatan perdagangan semakin merosot akibat perperangan yang berlaku kerana tiada jaminan keselamatan kepada pedagang untuk menjalankan urusniaga di kawasan bergolak ini. Hal ini menyebabkan kerugian ekonomi kepada Johor. Kemuncak peristiwa perperangan ini berlaku apabila Pengeran Dipati Anum mengetuai sebuah angkatan perang untuk menyerang dan memusnahkan Johor secara mengejut pada 4 April 1673. Serangan ini telah melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan Johor. Dalam usaha menyelamatkan diri, Raja Muda bersama seluruh penduduk Johor telah lari bersembunyi di dalam hutan. Bendahara Johor telah ditawan dan dibawa pulang ke Jambi.

Sultan Abdul Jalil Shah III pula melarikan diri ke Pahang. Baginda akhirnya meninggal dunia di sana pada 22 November 1677. Perperangan yang menyebabkan kekalahan kerajaan Johor ini telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada Johor kerana Jambi telah bertindak merampas semua barang berharga milik kerajaan Johor termasuk 4 tan emas, sebilangan besar senjata api yang merupakan simbol kemegahan dan kekuatan Johor. Kehilangan senjata api dan tentera yang ramai menyebabkan kerajaan Johor tidak berupaya berbuat apa-apa secara tidak langsung menyebabkan kerajaan Johor runtuh.


*****************

Pengaruh Bugis dan Minangkabau


Sultan Mahmud Shah II mangkat pada tahun 1699 tanpa meninggalkan sebarang waris. Melihatkan keadaan itu, Bendahara Abdul Jalil melantik dirinya sebagai sultan baru dengan digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tetapi timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar lain di atas perlantikan itu.

Orang Bugis yang memainkan peranan penting sewaktu Perang Johor-Jambi mempunyai pengaruh yang kuat di Johor. Selain daripada orang Bugis, orang Minangkabau juga mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Bugis dan Minangkabau percaya dengan kematian Sultan Mahmud II, mereka dapat mengembangkan pengaruh mereka di Johor. Di kalangan orang Minangkabau terdapat seorang putera dari Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud II. Raja Kecil menjanjikan kepada orang Bugis bahawa sekiranya mereka menolongnya menaiki takhta dia akan melantik ketua orang-orang Bugis sebagai Yam Tuan Muda Johor.Pada masa itu orang-orang Bugis telah memberikan alasan untuk pergi ke Selangor bagi mengumpul orang-orangnya sebelum melancarkan serangan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) telah menyerang Johor terlebih dahulu setelah terlalu lama menunggu kedatangan orang-orang Bugis. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil telah menawan Panchor. Raja Kecil melantik dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Setelah Raja Kecil berjaya menduduki tahta Johor orang-orang Bugis telah datang menuntut janji untuk dilantik sebagai Yam Tuan Muda. Permintaan ini telah tidak diperkenankan oleh Raja Kecil kerana orang-orang Bugis tadi telah tidak memberikan bantuan sebagaimana yang diminta oleh Raja Kecil.

Tidak puas hati dengan perlantikan Raja Kecil, bekas Bendahara Abdul Jalil meminta Daeng Parani ketua orang Bugis untuk menolongnya mendapatkan semula takhta.Permintaan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Bugis kerana mereka juga kecewa kerana tidak dapat menuntut jawatan Yam Tuan Muda. Pada tahun 1722, Raja Kecil terpaksa meletakkan takhta kerana pengaruh Bugis. Anak Bendahara Abdul Jalil kemudiannya dilantik menjadi sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tetapi Sultan Sulaiman hanyalah seorang sultan tetapi tidak mempunyai kuasa kerana Daeng Merewah, daripada orang Bugis yang memegang kuasa sebagai Yamtuan Muda.


*****************
 
  Singapura dan British



Pada 1818, Sir Stamford Raffles dilantik menjadi gabenor di Bengkulu, Sumatera. Dia percaya bahawa British perlu menubuhkan sebuah penempatan yang baru di Asia Tenggara sekiranya mereka ingin bersaing dengan Belanda. Walaupun banyak bantahan diterima dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris tetapi Gabenor British di India menyebelahinya. Dengan persetujuan gabenor, beliau memulakan ekspedisi mencari penempatan baru.

Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh seorang Temenggung Johor. Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussein tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.

Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussein sanggup membenarkan British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussein. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.

Dengan bantuan Temenggung, Raffles berjaya menyeludup Tengku Hussein yang ketika itu tinggal di Riau kembali ke Johor.

Belanda berasa amat tidak puas hati dengan keadaan ini tetapi dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda mengakui Singapura menjadi milik British. Perjanjian ini menyebabkan Kesultanan Johor terbahagi kepada dua iaitu Johor moden dan Kesultanan Riau yang baru.

Di dalam Johor yang baru, walaupun Tengku Hussein ialah sultan tetapi Temenggung yang menguasai Johor. Bugis pula menguasai Riau.


*****************

Kemunculan Johor Moden

Sultan Abu Bakar
Pada tahun 1855, di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali dari Johor, kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan Muar masih lagi di bawah kekuasaan sultan. Muar kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Ibrahim pada tahun 1877. Temenggung Ibrahim membuka sebuah bandar iaitu Bandar Tanjung Puteri di selatan Johor dan menjadikannya sebagai sebuah bandar utama. Bandar Tanjung Puteri kemudiannya dikenali sebagai Johor Bahru.


Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim

Temenggung Ibrahim kemudiannya digantikan oleh anaknya, Temenggung Abu Bakar yang kemudiannya memegang gelaran Seri Maharaja Johor. Pada tahun 1866, dia dilantik menjadi sultan Johor secara rasmi. Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Baginda juga memerintahkan dibinanya Istana Besar, tempat tinggal rasmi sultan. Sultan Abu Bakar kemudiannya dikenali sebagai Bapa Johor Moden.

Johor juga menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada kurun ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sistem Kangchu dilaksanakan.

Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar terpaksa menerima seorang Residen British.


*****************

Penyertaan Johor Dalam Persekutuan Tanah Melayu  

Sultan Sir Ibrahim

Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British yang bertanggungjawab dalam aspek pertahanan Johor dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Jepun menduduki Johor dari tahun 1941 hingga tahun 1945.

Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi sebahagian daripada Malayan Union. Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar daripada UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tanah Melayu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya pada tahun 1963, Johor adalah salah satu daripada 14 buah negeri yang menyertai Malaysia. Johor menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada masa pemerintahan Sul Ibrahim


*****************
Sultan Mahmud Shah III - Sultan bagi Riau-Johor-Lingga-Pahang

Sultan Mahmud Shah III merupakan sultan Johor-Riau-Lingga ke16 pada 1761-1812. Menurut sejarah, Raja Mahmud masih berusia setahun ketika dinobatkan sebagai Sultan menggantikan Sultan Ahmad Riayat Shah (Marhum Tengah) yang mangkat pada tahun 1761, dengan gelaran Sultan Mahmud Syah III. Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja membuat perlantikan dengan meriba Raja Mahmud. Semasa perlantikan, Daeng Kemboja berucap yang maksudnya, "Barang diketahui kiranya oleh suku-suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala daerah takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana melantik nendanya Sultan Sulaiman, iapun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari dan waktu inilah kita berhabis-habisan."

Daeng Kemboja menghunus pedangnya. Dan tidak ada seorang pun yang hadir berani membantah keinginan Daeng Kemboja. Lalu Raja Mahmud pun dilantik menjadi Yang Dipertuan Besar atau Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Oleh kerana baginda masih bayi, maka pemerintahannya dipangku oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja dengan dibantu oleh penolongnya Raja Haji.

Daeng Kemboja menunjukkan kekuatan melantik Raja Mahmud sebagai Sultan kerana wujudnya perebutan kuasa antara pembesar Bugis dengan pembesar Melayu. Pembesar Melayu mahukan salah seorang daripada saudara-saudara Al Marhum Sultan Abdul Jalil (Raja di Baroh), sama ada Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang, dilantik Sultan. Sedangkan pembesar Bugis yang dipimpin Yamtuan Muda Daeng Kemboja mahukan adinda Al Marhum Sultan Ahmad Riayat Shah yang baru mangkat, iaitu Raja Mahmud.

1. Pemerintahan

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud III, keadaan daerah takluk Baginda di Riau-Johor-Lingga-Pahang tidak aman kerana masalah perebutan kuasa antara puak Melayu dan Bugis berterusan. Pergolakan politik yang hebat berlaku yang melibatkan pihak Belanda. Dalam satu pertempuran antara Belanda dengan angkatan lanun dari Tempasok, Sultan Mahmud pura-pura membantu Belanda tetapi meriam yang digunakan untuk menyerang lanun tidak berpeluru. Akhirnya Belanda menyerah kalah di Tanjung Pinang dan terpaksa meninggalkan Tanjung Pinang tanpa membawa satu barang pun kembali ke Melaka.

Oleh kerana kuatir Belanda datang semula untuk menyerang balas, maka Sultan Mahmud beserta pembesar-pembesar baginda berangkat meninggalkan Riau (Tanjung Pinang) menuju Pulau Lingga (Daik). Baginda menitahkan agar pusat pemerintahan baru dibangunkan di tempat baru ini. Sejumlah 200 perahu mengiringi baginda ke Pulau Lingga. Sementara itu, Bendahara Abdul Majid yang ketika itu berada di Riau (Tanjung Pinang) bertolak meninggalkan tempat itu bersama 150 buah perahu, pulang ke Pahang. Setelah itu, ramailah orang-orang Melayu meninggalkan Riau menuju Bulang, Selangor, Terengganu, Kalimantan dan pulau-pulau lain di daerah Riau. Yang tinggal hanya orang-orang Cina yang bekerja di ladang gambir dan lada hitam. Kebanyakan ladang yang ditinggalkan oleh tuan punya yang terdiri daripada orang Melayu dan Bugis diambil alih oleh orang-orang Cina. Sejak itu semakin ramailah orang Cina tinggal di pulau itu.

Tidak lama kemudian orang Belanda datang semula ke Tanjung Pinang untuk memperkuatkan semula pertahanan mereka. Kompeni Belanda menempatkan 312 orang tenteranya. Belanda berpendapat jika mereka tidak menguasai Riau (Tanjung Pinang), kedudukan mereka akan terancam, tambahan pula ketika itu Inggeris telah membuka Pulau Pinang.

Pada tahun 1795, Belanda telah mengembalikan semula semua wilayah takluk Sultan Mahmud seperti Riau, Johor dan Pahang kepada Baginda.

Sultan Mahmud membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Riau-Johor-Lingga-Pahang. Namun akhirnya dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya pusat kesultanan di Lingga mengecil untuk hanya berkuasa di Riau-Lingga sahaja di bawah naungan kuasa Belanda, manakala Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris. Akibat daripada perpecahan itu juga, pentadbiran kerajaan Riau-Jojor-Lingga dibahagi kepada tiga negeri dan diperintah oleh pemerintah yang berlainan, iaitu Singapura- oleh Temenggung, Riau - oleh Yamtuan Muda dan Lingga - oleh Sultan.

2. Keluarga

Semasa menjadi Sultan Riau-Johor-Lingga-Pahang, Sultan Mahmud mempunyai beberapa orang isteri:-
•Anak Bendahara Abdul Majid di Pahang. Isteri ini mangkat pada tahun 1803 tanpa beroleh anak.
•Cik Makuh, anak pembesar Bugis Daeng Maturang, yang juga dikenali dengan nama Encik Jaafar. Dari perkawinan ini lahir seorang putera bernama Tengku Hussain atau Tengku Long.
•Cik Mariam anak pembesar Bugis bernama Bandar Hassan. Mereka beroleh seorang putera bernama Tengku Abdul Rahman (Raja Jumaat atau Si Komeng). Pulau Lingga diserahkan hakmiliknya kepada Tengku Abdul Rahman.
•Pada tahun 1803, Sultan Mahmud berkahwin dengan Raja Hamidah atau Engku Puteri anak Al Marhum Raja Haji (Marhum Teluk Ketapang). Mereka mempunyai cahaya mata perempuan tetapi meninggal dunia tidak lama setelah dilahirkan. Kata sesetengah orang, Pulau Penyengat yang berhampiran Pulau Bintan dijadikan emas kahwinnya. Pulau ini diperindah dan digelar Pulau Penyengat Indera Mulia. Baginda menyerahkan pulau itu kepada Raja Hamidah sebagai hakmilik peribadinya.

3. Mangkat
Sultan Mahmud Shah III tetap bersemayam di Lingga dan mangkat pada 12 Januari 1812, setelah bertakhta selama 50 tahun. Baginda digantikan oleh Tengku Abdul Rahman.

*****************
PAHANG

Dato' Bahaman

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .

Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan

 
*****************

MAT KILAU
Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.


Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

*****************

TOK GAJAH
 
Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.


Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

*****************
Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato Hussein


Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau menggantikan Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan memimpin Negara dari tahun 1970 hingga 1976. Beliau memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970. Y.A.B. Tun Abdul Razak dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan Pahang pada 11 Mac 1922. Y.A.B. Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud.


Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jambu Langgar dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934 dan merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Selepas menamatkan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar, beliau bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Pembelajarannya di kolej tersebut tergendala disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Lantaran itu, Y.A.B. Tun Abdul Razak telah menyertai Angkatan 136 (Force 136) yang merupakan gabungan askar yang dilatih oleh Pegawai British untuk mengambil semula Tanah Melayu daripada Jepun. Pada tahun 1947, melalui biasiswa Malayan Union, Y.A.B. Tun Abdul Razak melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Britain. Pada tahun 1950, beliau menerima ijazah undang-undangnya daripada Lincoln's Inn di London. Y.A.B. Tun Abdul Razak merupakan ahli Parti Buruh British dan pemimpin pelajar Kesatuan Melayu Great Britain yang terkenal. Beliau juga merupakan salah seorang "King Scolar". Selain itu, beliau telah menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oleh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada pelajar-pelajar Malaya. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Students� Union.

Sekembalinya ke tanahair, Y.A.B. Tun Abdul Razak telah dilantik menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia sebagai Orang Kaya Indera Syahbandar dan pada masa yang sama turut menyertai Perkhidmatan Awam Malaya. Y.A.B. Tun Abdul Razak juga mula bergiat aktif dalam bidang politik. Ini terbukti apabila pada tahun 1950, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dua tahun kemudian, beliau berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan pada Februari 1955, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri Pahang. Beliau seterusnya dilantik menjadi Menteri Pendidikan selepas beliau memenangi pilihan raya umum negara yang pertama pada Julai 1955.

Y.A.B. Tun Abdul Razak juga merupakan salah seorang ahli rombongan ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada British pada Februari 1956. Selepas pilihanraya umum 1959, beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Beliau merupakan seorang pemimpin yang memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan kebangsaan, pembangunan infrastruktur, pertahanan dan sosioekonomi. Maka gelaran "Bapa Pembangunan" yang diberikan kepada beliau amatlah tepat.

Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" dan dilengkapi pula dengan "Bilik Gerakan" yang mencatit butir-butir rancangan di setiap tempat termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut. Beliau berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya petani-petani mendapat pendapatan yang setimpal dengan usaha-usaha mereka. Antara lain, ini diuruskan melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-negeri.

Y.A.B. Tun Abdul Razak juga dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. DEB meletakkan dua matlamat asas iaitu untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. DEB merupakan projek pembangunan negara yang dijalankan secara berperingkat melalui Rancangan-rancangan Malaysia dari tahun 1970-1990. Beliau turut menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik.

Pada 13 Mei 1969, berlakunya peristiwa 13 Mei dan perlembagaan negara telah digantung, parlimen dibubarkan dan darurat diistiharkan di seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Y.A.B. Tun Abdul Razak telah dilantik oleh Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Pengarah MAGERAN dan di bawah MAGERAN, ketenteraman awam berjaya dipulihkan semula. MAGERAN dibubarkan pada tahun 1971 dengan pemulihan Parlimen.

Pelbagai kurniaan dan darjah kebesaran dianugerahkan kepada Y.A.B.. Tun Abdul Razak dalam dan luar Negara. Sebagai tanda inspirasi jasa dan perkhidmatan beliau kepada pembangunan bangsa dan negara beliau diberi gelaran "Bapa Pembanguan Malaysia". Y.A.B. Tun Abdul Razak mengahwini Toh Puan Rahah Tan Sri Hj Mohd Noah pada bulan September 1952 dan mempunyai lima orang anak lelaki. Pada masa itu, beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri Pahang. Y.A.B. Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976 ketika berusia 54 tahun. Jenazah beliau telah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat Malaysia.

Bagi memperingati segala jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara, kerajaan telah membina Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Memorial ini pada asalnya merupakan bekas kediaman rasmi beliau dan keluarga semasa hayatnya. Momorial ini siap dibina pada bulan Oktober 1961 sebagai kediaman rasmi beliau dan kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah memorial pada tahun 1994. Memorial ini menempatkan bahan-bahan pameran seperti gambar potret, dokumen-dokumen, buku-buku, bahan-bahan pandang dengar, hadiah-hadiah dan anugerah-anugerah kebesaran dan memorabilia kepunyaan dan mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak sejak kecil sehingga akhir hayat beliau. Kenderaan seperti speedboat dan golf cart yang pernah diguna oleh beliau turut dipamerkan di sini. Keseluruhan perabut dan bilik tidur Allahyarham masih lagi dikekalkan untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Tun Abdul Razak semasa hayat beliau telah banyak mencurahkan tenaga dan usianya kepada perjuangan menegakkan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan keamanan dunia. Jasanya yang tidak ternilai ini diharapkan dapat dicontohi serta diteladani oleh semua pemimpin-pemimpin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Penubuhan Memorial Tun Abdul Razak ini dikira sebagai perintis usaha-usaha menghargai dan mengabdikan sumbangan-sumbangan beliau dan juga pembuka jalan kepada kajian lebih mendalam untuk mengenali beliau, pentadbirannya dan pasang surutnya politik.



*****************
KEDAH
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 8 Februari 1903. Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Ibunya adalah Che Manjalara. Selepas menerima pendidikan awal di sekolah Melayu dan Inggeris di Alor Setar, Tunku telah dihantar melanjutkan pelajaran di Bangkok. Dalam tahun 1920, Tunku telah menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St. Catharine di University Cambridge dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan sejarah pada tahun 1925. Selepas kembali ke tanahair iaitu dalam tahun 1931, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Kedah sebagai Pegawai Daerah di beberapa daerah di negeri Kedah. Di antaranya ialah Kuala Nerang, Langkawi, Sungai Petani dan akhirnya di Kulim.

Pada tahun 1948, Tunku telah dilantik menjadi pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) negeri Kedah. Tunku telah kembali ke London untuk menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang bagi mendapatkan kelulusan Bar-at-Law. Pada tahun 1949, Tunku telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Alor Setar. Pada Ogos 1951, suatu krisis dalaman UMNO, keadaan ini memaksa Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan dan Tunku dilantik sebagai presiden. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun. Di bawah kepimpinannya, Perikatan memenangi Pilihanraya Umum pertama pada 27 Julai 1955. Parti Perikatan telah memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi dipertandingkan. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri Negara dan Menteri Dalam Negeri yang pertama. Pada 31 Disember 1956, beliau mengetuai misi ke London untuk membincangkan dengan pihak Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasil dari mesyuarat tersebut, Perjanjian Merdeka (Independent Treaty) ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, dan terus mengetuai Perikatan ke arah kegemilangan pada Pilihanraya Umum 1959, 1964 dan 1969.

Pada 6 Jun 1960, Tunku telah dikurniakan Doktor Kehormat Undang-undang oleh University Cambridge. Tunku juga telah menerima darjah yang sama daripada Universiti Malaya, University of Sydney, University of Areneta Filipina, University Saigon tahun 1961, Aligarh Muslim University di India tahun 1962 dan Seoul National University pada tahun 1965. Dalam tahun 1961, Tunku adalah salah seorang pengasas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) semasa memegang jawatan Perdana Menteri. Pada bulan November 1961, Tunku telah melawat London untuk berbincang dengan kerajaan British tentang penubuhan Malaysia. Satu suruhanjaya khas telah dilantik untuk membuat pungutan suara bagi penduduk negeri Sabah dan Sarawak.

Dalam tahun 1962, Tunku telah menjadi Canselor pertama Universiti Malaya. Beliau telah sekali lagi pergi ke London pada bulan Julai untuk perbincangan lanjut mengenai penubuhan negara baru iaitu Malaysia dengan cadangan tarikh pada 31 Ogos 1963. Tunku adalah seorang olahragawan yang aktif. Beliau juga peminat setia bagi sukan bola sepak. Di samping itu, beliau merupakan Presiden Bola Sepak Persekutuan Tanah Melayu, Persekutuan Bola Sepak Asia, dan Badminton Asia. Secara peribadi, beliau juga meminati sukan golf, berlayar dan seni fotografi. Beliau juga memilki koleksi luar biasa senjata Melayu terutamanya keris. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87 tahun, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star Kedah.

*****************
KELANTAN
Tuk Janggut
 
Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhak. Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.

Abdul Rahman bin Andak

Dato' Seri Amar Diraja - Dato' Abdul Rahman bin AndakAbdul Rahman bin Andak (1850 - 10 September 1930) yang bergelar Datuk Seri Amar Diraja adalah pembesar yang sangat pintar di Johor. Bapa beliau ialah Haji Andak bin Haji Jamak manakala adiknya Tan Sri Taib Andak. Beliau telah mendapat pendidikan British. Oleh itu, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai British dan pedagang asing di Johor.


Tugas utama yang dilakukan oleh Datuk Seri Amar Diraja ini adalah mengawal hubungan yang dijalankan di antara kerajaan Johor dengan pihak British. Tugas yang dilakukan sememangnya amat berat. Beliau harus menentukan agar hubungan berjalan dengan seimbang. Dengan begitu, British tidak dapat mengambil kesempatan untuk menguasai dan menjajah negeri Johor. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik sehingga terdapat pihak British yang amat tidak menyukainya kerana sikapnya yang tegas terhadap mereka.


Dato' Abdul Rahman Andak adalah anak Johor yang pertama melanjutkan pelajaran di England dalam tahun 1870'an. Abdul Rahman memulakan kerjayanya dalam JCS dan berakhir dengan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dalam menyelamatkan Johor dari terperangkap dengan muslihat penjajah Inggeris, Abdul Rahman selaku Penasihat Sultan bertanggungjawab menasihat Sultan Abu Bakar menandatangani teriti persahabatan dengan British dalam tahun 1885, Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan menyekat percubaan Inggeris melantik Penasihat Am Inggeris. Inggeris mendapati selagi ada Abdul Rahman Andak mereka sukar menguasai Johor. Oleh itu Sultan Ibrahim telah dipengaruhi untuk menamatkan perkhidmatan Dato'Sri Amar DiRaja dan di'amankan' di England dalam tahun 1909. Ini menyebabkan Gabenor Anderson menyingkir Abdul Rahman dengan pesetujuan Sultan Ibrahim. Anderson mencadangkan Abdul Rahman dibayar pencen 1000 pounds sterling setahun. Keadaan ini membolehkan Inggeris bertapak di Johor dalam tahun 1909 dan menguasai Johor mulai 1914. Beliau kemudian membawa diri ke London dan meninggal dunia di sana.


Pada tahun 1888 satu pertubuhan yang dinamakan Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa ditubuhkan oleh Muhammad Ibrahim Munsyi . Tujuannya adalah untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu. Usaha yang utama organisasi ini ialah menterjemahkan istilah atau perkataan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Beberapa perkataan yang dicipta ketika itu dan kekal hingga sekarang adalah seperti : setiausaha, pejabat, dan kerja raya.


Pada tahun 1934 nama pertubuhan ini ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Di-Raja. Pertubuhan ini dipimpin oleh Dato' Abdul Rahman bin Andak.

Beliau menetap di London dan berkahwin dengan Gustel Reis. Beliau telah mendapat 3 orang anak lelaki iaitu Henry, Mansour and Walter


Beliau meninggal dunia di London pada 10 September 1930 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Woking London.

*****************

BERITA HARIAN ONLINE